ADUN Bersatu Sabah bakal tubuh parti tempatan baharu

ADUN Bersatu Sabah bakal tubuh parti tempatan baharu

ADUN Bersatu Sabah bakal tubuh parti tempatan baharu. Semua ahli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan meninggalkan parti itu hari ini.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Hajiji, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Sambil menyifatkan ia adalah keputusan terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik negeri, beliau dan kepimpinan akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Ini katanya kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adalah menjadi komitmen kerajaan Sabah bersama Sarawak sebagai blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilaksanakan sepenuhnya.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli parti itu,” katanya.

BACA JUGA:

Sesuka hati mengeluarkan fatwa halal dan haram Ustaz Elyas Ismail tampil memberi pencerahan

7 Tempat Menarik Di Sabah, rugi tidak pergi

Cik Man pohon doa semua, sebutan-sebutan kes bermula tahun depan

Artikel ini disiarkan pada 10/12/2022

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] ADUN Bersatu Sabah bakal tubuh parti tempatan baharu […]

  • […] ADUN Bersatu Sabah bakal tubuh parti tempatan baharu […]