[video] Akhirnya Pak Hamid kembali kepada Maha Penciptanya

Warga emas yang terlantar akibat menghidap barah hati tahap empat di Kampung Melayu Majidee di sini, ketika isteri dan anak terkandas di Singapura, meninggal dunia sebentar tadi.

Hamid Salleh, 63, meninggal dunia kira-kira 6.30 petang tadi selepas disedari jiran yang menjaganya.

Jiran yang juga pemilik rumah sewa warga emas itu, Noor Hamisah Zainal Abidin berkata, jiran yang menjaga Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Pak Hamid itu memaklumkan pihak hospital sebaik menyedari ada yang tidak kena sebelum pegawai perubatan yang tiba mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Katanya, isteri Pak Hamid, Meharan Mohd Atan, 61, sudah dimaklumkan berhubung pemergian suaminya itu.

“Isteri Pak Hamid sudah dimaklumkan tadi. Dia kelu dan hanya menangis apabila mendapat berita suaminya sudah meninggal dunia.

“Dia berasa amat ralat kerana hasratnya untuk pulang menjaga suaminya yang sakit itu tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi.

Pak Hamid dijaga jirannya sejak awal bulan lalu, berikutan isterinya dan empat anaknya terkandas di Singapura sejak Mac lalu, berikutan penutupan pintu sempadan akibat wabak Covid-19.

Meharan yang permohonan skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) sudah diluluskan dijangka memasuki Johor Bahru esok, selepas menguruskan dokumen berkaitan skim itu sejak awal bulan lalu.

Terdahulu portal Harian Metro melaporkan, Pak Hamid bertuah kerana jirannya yang berhati mulia sanggup menjaganya 24 jam sehari selepas warga emas itu terlantar di katil sejak lebih dua minggu lalu.

Dia dijaga sepanjang masa oleh jiran yang juga rakan baiknya iaitu Mohd Yusof Othman, 54, bersama isterinya, Siti Hazar Abd Jabar, 53 serta Raynold Gindurong, 35, secara bergilir-gilir.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/645124/pak-hamid-meninggal-dunia-petang-tadi

Artikel ini disiarkan pada 23/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)