Akibat rugi main saham lelaki nekad bunuh diri

Akibat rugi main saham lelaki nekad bunuh diri

Seorang lelaki di Amerika Syarikat menamatkan riwayatnya sendiri selepas mengalami tekanan akibat tersilap dengan menyangka dia kerugian AS$700,000 (RM2.8 juta) di aplikasi perdagangan saham.

Susulan itu, keluarga kepada Alex Kearns, 20, mengeluarkan tuntutan saman terhadap syarikat Robinhood Financial kerana didakwa menjadi punca kematiannya.

Berdasarkan tuntutan saman keluarga itu, Alex menerima e-mel dari Robinhood pada 11 Jun memaklumkan akaunnya disekat dan dia perlu membeli AS$700,000 (RM2.8 juta) susulan dagangan opsyen.

Keadaan itu akan membuatkan akaunnya menjadi baki negatif sebanyak AS$730,000 (RM2.9 juta), sedangkan dia sebelumnya percaya jumlah kerugian maksimum hanya AS$10,000 (RM40,410).

Alex menghantar beberapa e-mel kepada khidmat pelanggan Robinhood untuk bertanyakan lanjut hal itu, namun jawapan diterima tidak membantunya.

Pada hari berikutnya, dia menerima e-mel dari Robinhood yang menjelaskan dia perlu membayar wang pendahuluan lebih AS$178,000 (RM724,594) dalam tempoh tujuh hari untuk menyelesaikan masalah baki negatif itu.

Penuntut University of Nebraska-Lincoln itu membunuh diri Jun lalu selepas mengalami tekanan akibat tidak dapat berkomunikasi dengan pihak Robinhood bagi menyelesaikan masalah kewangan itu.

“Ini sangat tragedi, komunikasi Robinhood mengelirukan sedangkan realitinya Alex tidak berhutang apa-apa,” kata tuntutan saman itu seperti dipetik dalam portal Daily Mirror.

Tuntutan itu difailkan di Santa Clara County, California, menuntut ganti rugi kerana kematian yang salah, tekanan emosi dan amalan perniagaan yang tidak adil.

Robinhood dalam kenyataan balasnya, menzahirkan duka cita atas kematian Alex serta menawarkan penambahbaikan termasuk menyediakan lebih banyak bahan pendidikan tentang aktiviti saham itu, kriteria kewangan baharu serta pengalaman bagi pelanggan baharu.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/02/673875/akibat-salah-sangka-rugi-main-saham

Artikel ini disiarkan pada 12/02/2021

COMMENTS

Wordpress (0)