Apa alasan kerajaan tidak melaksanakan persidangan Parlimen secara digital

Saya tidak boleh menerima apa-apa alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan persidangan Parlimen secara virtual/digital.

Situasi wabak pandemik COVID-19 sudah bermula sejak awal tahun ini di negara kita. Ia bukan perkara atau situasi baru yang kerajaan kena selesaikan. Dari waktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, wabak ini sedang ditangani oleh kerajaan PH sehinggalah kerajaan PN hari ini.

Jadi, sepatutnya sudah ada rancangan apabila ada persidangan Dewan Rakyat, negara kita boleh laksanakan persidangan secara virtual.

Saya juga masih ingat bagaimana persidangan Dewan Rakyat pada sesi 18 Mei 2020 yang lepas hanya dibuat satu hari sahaja sebelum ditangguhkan ke bulan Julai. Alasan yang diberikan juga sama; risau penularan wabak pandemik COVID-19 di Dewan Rakyat.

Daripada sesi Mei 2020 hingga hari ini, kerajaan ada masa kurang lebih 7 bulan untuk bersiap sedia dan laksanakan persidangan penuh secara virtual. Janganlah kata kita tidak bersedia, tidak ada masa yang cukup atau tidak ada wang peruntukan tambahan. Ini Dewan Rakyat. Tempat membuat keputusan besar negara.

Belanjawan 2021 pun akan dibentangkan esok.
Orang muda pun dah buat inisiatif Parlimen Digital dan berjaya buat persidangan seramai 222 orang wakil di setiap kawasan. Rakan saya Lim Wei Jiet pun jadi Speaker Dewan Parlimen Digital dalam persidangan tersebut.

Soalannya, mengapa kerajaan tidak berbuat begitu?

Tidak ada masakah? Dah hampir satu tahun wabak melanda. Sepatutnya, masalah ini sudah dijangka awal.

Tidak ada kepakarankah? Saya boleh minta wakil teknikal Parlimen Digital untuk turun dan bantu. Mereka mesti ada kelapangan untuk bantu.

Adakah Ahli Parlimen tidak perlu bertugas di dalam Dewan Rakyat? Bulan Mei dah tangguh sidang. Bulan November hanya 80 orang Ahli Parlimen sahaja bertugas. Gaji tetap jalan. Adakah ini langkah yang bertanggungjawab terhadap rakyat?

Seharusnya, semua 222 Ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk terlibat dalam setiap sesi, bertanya soalan, membuat undian. Tapi, kali ini tugas itu akan terhalang.

Janganlah diberi banyak dalih untuk tidak membuat sesi Parlimen secara virtual. Tak mahu seribu dalih, kita mahu sejuta daya dan usaha.

– Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

– Ahli Parlimen Muar (yang percaya Dewan Rakyat Virtual boleh dibuat
Sumber:

Artikel ini disiarkan pada 05/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)