Apa Yang 99 speedmart dah buat sampai pasar raya besar boleh terciduk?

Apa Yang 99 speedmart dah buat sampai pasar raya besar boleh terciduk?Suatu ketika dahulu kalau nak beli barang dengan banyak dan murah, pasar raya besar seperti Aeon, Econsave dan Tesco akan menjadi pilihan utama. Masalahnya sekarang pasar raya-pasar raya besar tersebut sangat sukar untuk dicapai oleh sesetengah penduduk. Hal ini demikian kerana kebanyakan pasar raya besar terletak di bandar.

Kalau nak ke situ juga akan mengambil masa yang lama dan akhirnya mereka terpaksa bergantung kepada kedai runcit biasa seperti kedai acheh. Masalah lain pula timbul kerana kedai runcit biasa ini menjual barangan dengan harga yang sedikit tinggi. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh salahkan kedai runcit biasa kerana mereka tidak mampu beraksi seperti pasar raya besar. Kedai runcit biasa hanya mampu dapatkan bekalan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Manakala pasar raya besar membeli secara pukal lantas mampu berikan harga yang agak murah.

Jadi sebagai peniaga, anda akan nampak masalah yang melanda iaitu harga barang agak mahal di kawasan berjauh dengan pasar raya. Apa yang perlu dibuat adalah selesaikan masalah tersebut dan terus mampu menjana keuntungan. Perkara ini telah dipraktikkan oleh 99 Speedmart iaitu menjadi kedai runcit biasa yang menjual barangan pada harga pasar raya besar. Malah ada beberapa barang yang dijual dengan cukup murah berbanding pasar raya besar.

Jadi apa 99 Speedmart buat untuk selesaikan masalah ini?

99 Speedmart telah mengesan begitu banyak kawasan yang sangat jauh daripada pasar raya besar dan terus membuka cawangan di situ. Bagi membezakannya dengan kedai runcit biasa, 99 Speedmart telah menawarkan barangan dengan harga yang agak murah. Nak bagi harga murah, 99 Speedmart perlu mendapatkan stok secara pukal. Tapi pasti kos yang banyak diperlukan kerana mustahil kedai runcit kecil mampu beraksi seperti pasar raya besar.

Jadi 99 Speedmart atasi masalah ini dengan stok yang tidak habis itu akan diberikan kepada cawangan lain. Ditambah lagi, suasana ataupun keadaan dalam 99 Speedmart memberikan kelebihan kepada mereka untuk dapatkan pelanggan dengan mudah. Kalau anda perasan apabila masuk ke dalam 99 Speedmart, pasti anda akan terus dapatkan barang yang ingin dibeli dan terus bayar dengan pantas.

Berlainan pula jika berkunjung ke pasar raya besar, suasana yang menarik akan membuatkan anda berjalan tanpa arah disana sehingga menjadi sesak. Bermakna 99 Speedmart tidak perlu risau dengan bilangan pelanggan kerana mereka akan bayar dan pergi dengan cepat tanpa perlu bersiar-siar di dalam kedai.

Strategi yang digunakan oleh Speedmart menyebabkan beberapa pasar raya besar mula rasa terancam. Ini kerana semakin ramai pelanggan mula beralih arah ke 99 Speedmart atas alasan lebih murah dan jarak yang sangat dekat. Jadi mahu tak mahu beberapa pasar raya besar terpaksa mengikut rentak 99 Speedmart.

Sebagai contoh, Giant yang menjadi antara pasar raya besar menawarkan harga rendah terpaksa menutup beberapa cawangan mereka angkara angka kehadiran pelanggan begitu rendah. Hal itu menimbulkan persepsi bahawa Giant dalam kejatuhan dan bakal lingkup. Namun bukan itu sebabnya kerana Giant telah membuka cawangan ataupun kedai yang lebih kecil untuk bersaing. Bahkan Giant mula target kawasan yang lebih kecil untuk membuka cawangan. Secara tidak langsung, Giant dapat fokus kepada kelompok yang lebih spesifik dan menawarkan alternatif kepada pelanggan.

Situasi ini bukan sahaja terjadi di Malaysia malah turut berlaku di Thailand. Ini kerana 7 Eleven turut membuka cawangan mereka di kawasan-kawasan yang jauh daripada pasar raya besar. Ditambah lagi dengan 7 Eleven Thailand yang menjual pelbagai barang dengan harga murah, memang mudah untuk mereka mendapatkan pelanggan.

Bukan itu sahaja, dasar kerajaan Thailand juga membantu 7 Eleven untuk terus berkuasa dengan pihak berkuasa hanya membenarkan pasar raya besar beroperasi sekitar 15 km daripada kawasan bandar.

Melihat kepada kelompongan itu, 7 Eleven terus membuka cawangan di luar radius 15 km daripada kawasan bandar dan hasilnya 7 Eleven berkembang dengan pesat Jadi mahu tak mahu, pasar raya besar seperti Lotus serta Big C terpaksa mengikut rentak 7 Eleven dengan membuka cawangan lebih kecil.

Kesimpulannya sebagai seorang usahawan, kita perlu mengenal pasti terlebih dahulu apa masalah yang dihadapi oleh pelanggan.

Selepas itu cuba selesaikannya sehingga pelanggan berpuas hati. Jika berjaya pasti sesebuah perniagaan itu akan terus berkembang. Tapi kalau 99 Speedmart mampu buka 24 jam pasti banyak kedai runcit akan terus terciduk.

Baca :Ajak Shiro akhirnya Buka Kisah Lama Dedah Sikap Shahrol…

Artikel ini disiarkan pada 03/08/2022

COMMENTS

Wordpress (0)