Bayi ditinggalkan di tokong

“Saya dengar sayup seperti suara anak kucing, mulanya saya ingat orang nak usik sebab bunyi tu sekejap ada, sekejap hilang.

“Namun tidak lama kemudian, bunyi tangisan itu kedengaran sekali lagi sebelum saya ternampak ada beg galas ungu atas bangku di tokong di Kampung Hilir, Kubang Rotan. Saya dapati ada bayi perempuan dibalut kain batik,” kata Mohd Hanif Zaini, 29.

Dalam kejadian 4.35 petang itu, Mohd Hanif sedang berjoging bersendirian di tepi sawah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan, Kuala Kedah, di sini.

Dia berkata, bayi perempuan itu dipercayai baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada badan selain tali pusat belum dipotong.

“Saya terus menghubungi isteri supaya membawa kereta sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Tak sangka ada orang tergamak buat macam tu, sampai mengalir air mata saya melihat keadaan bayi itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

 

Mohd Hanif berkata, dia sempat membawa bayi itu pulang ke rumah sebelum polis dan ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tiba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat itu pada jam 5.20 petang tadi.

“Berikutan itu, kami merakam percakapan pengadu dan saksi untuk membantu siasatan.

“Bayi perempuan itu kemudian dihantar ke HSB untuk menjalani pemeriksaan dan siasatan sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sumber: HM

Artikel ini disiarkan pada 07/02/2021

COMMENTS

Wordpress (0)