Bergantung pada wang KWSP untuk kelangsungan hidup

Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Alor Setar mula dipenuhi orang ramai yang mula berbaris sejak 8 pagi, hari ini.

Ada antara mereka yang datang dari daerah lain dan membawa pasangan yang turut mahu mengeluarkan akaun satu menerusi program i-Sinar KWSP.

Ahmad Nasri Abu, 44, dari Naka Padang Terap, berkata, dia kini hanya bergantung kepada wang KWSP untuk kelangsungan hidup selepas mengidap penyakit batu karang kronik sejak dua tahun lalu.

Katanya, wang simpanan KWSP akaun dua sebelum ini sudah habis diterima dan dia berhasrat mengeluarkan semua wang simpanan akaun satu miliknya sebanyak RM6,000.

“Saya sebelum ini pernah kerja kilang di Pulau Pinang selama tiga tahun sebelum berhenti dan kembali ke kampung menoreh getah, namun akibat penyakit yang saya hadapi, saya tak dapat keluar menoreh lagi.

“Isteri saya juga sudah keluarkan akaun dua dan hari ini kami akan sama-sama memohon untuk keluarkan akaun satu.

“Kami tak ada pilihan kerana anak-anak masih belajar, wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan cukup untuk membeli keperluan dapur sahaja,” kata bapa kepada lapan orang anak ini.

Bagi Norjuzini Jamaludin,37, wang simpanan akaun satu yang mahu dikeluarkan akan digunakan untuk menambah modal perniagaan dalam talian.

Katanya, selepas dia dan suami Ahmad Syakir Rosli,33, berhenti kerja sebagai jurujual telefon tahun lalu, mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk berniaga.

“Pandemik Covid-19 sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga. Suami saya berniaga nasi lemak dan burger, anak pula baru berusia dua tahun. Saya bantu suami berniaga kosmetik dalam talian supaya boleh menjaga anak di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Osman yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, dia bersyukur usianya yang bakal menjangkau 55 tahun pada 14 Disember ini akan memudahkan urusannya untuk mengeluarkan simpanan KWSP.

“Sejak kemalangan tujuh tahun lalu, saya hanya kerja kampung, tangan kiri saya tidak dapat berfungsi seperti biasa, isteri membantu saya dengan bekerja sebagai tukang cuci kerana dua orang anak kami masih bersekolah.

“Isteri saya pun akan keluarkan akaun satu selepas akaun dua kami sudah digunakan, dalam keadaan sekarang, semua perlukan wang tambah pula golongan kurang kemampuan seperti kami,” katanya yang berasal dari Jitra.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648477/bergantung-pada-wang-kwsp-untuk-kelangsungan-hidup

Artikel ini disiarkan pada 02/12/2020

COMMENTS

Wordpress (0)