Berita gembira untuk penjawat awam

Berita gembira untuk penjawat awam

Berita gembira untuk penjawat awam.Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam, 30 Ogos ini

Negara kerap kali dilanda musibah bencana alam seperti banjir besar yang tidak dijangka. Begitu juga dengan ancaman keselamatan, termasuk di perbatasan negara.

“Pada saat negara sedang mengalami kesusahan, pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain, bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

“Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan penjawat awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika mendapat dukungan daripada semua pihak.

Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan penjawat awam.

“Begitu juga dengan aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka,” katanya.

Menyentuh pentadbirannya yang genap setahun hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau mengangkat sumpah jawatan itu ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga merekod sebanyak 24,599 kes harian dan 393 kematian pada 26 Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan kadar pelalian terpantas dan akhirnya berjaya memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu.

“Dari sudut politik pula, negara pada waktu saya mengambil-alih tampuk pemerintahan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan.

“Ada pihak yang meramalkan bahawa bila-bila masa sahaja kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh, berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu.

“Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini menjangkau satu tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketaatsetiaan kerajaan Keluarga Malaysia kepada Yand di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh sama sekali diragui, malah sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana, selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Katanya, atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, inisiatif diambil dengan melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan sehingga memeterai kerjasama rentas parti dengan parti pembangkang.

“Hasil pendekatan inklusif ini, kita mencapai kestabilan politik. Pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi konsultasi mendapat sokongan meluas semua pihak.

“Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang diluluskan sebulat suara,” katanya

Baca :Pemuda Islam dapat pujian Paderi walaupun terpaksa berkorban nyawa sendiri

Artikel ini disiarkan pada 21/08/2022

COMMENTS

Wordpress (1)
  • Crytoblity 5 months

    Tidak perlu khawatir tentang masa depan jika Anda menggunakan robot keuangan ini. https://chews.escueladelcambio.es/