Berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan 4 kerusi Parlimen Sabah

Berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan 4 kerusi Parlimen Sabah

Berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan 4 kerusi Parlimen Sabah. Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mengesahkan menerima notis pemakluman daripada BERSATU mengenai status empat Ahli Parlimennya di Sabah yang keluar parti.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Ahli Parlimen terbabit sebelum ini mengumumkan keluar BERSATU tetapi kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Johari berkata sehingga ini, status Ahli Parlimen terbabit masih kekal dan belum ada kekosongan di kerusi berkenaan.

Beliau juga tidak memaklumkan bila keputusan mengenai isu itu akan dibuat.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata parti sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen berkenaan.

Ronald yang juga ketua BERSATU Sabah, berkata permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Katanya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli BERSATU pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 November daripada setiausaha BERSATU Sabah.

“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli parti BERSATU dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti BERSATU,” katanya dalam kenyataan.

Ronald berkata tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan pada sidang Parlimen, 19 Disember lalu dan tidak menyokong BERSATU adalah tindakan ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti BERSATU telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat itu hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Pada 10 Disember lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan tinggi BERSATU Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Hajiji berkata, keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan parti adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, BERSATU adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.

BACA JUGA:

Kedudukan unik NSIP sebagai MIP Yang-Pertama, tarik pelabur luar, wujud 50,000 peluang pekerjaan tempatan

Pengusaha taman team air yang sangat degil, diambil tindakan selepas beberapa kali melanggar notis

Tahun hadapan, pengguna Netflix dikena bayaran

Artikel ini disiarkan pada 30/12/2022

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] Berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan 4 kerusi Parlimen Sabah […]

  • […] Berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan 4 kerusi Parlimen Sabah […]