Ditahan berparti dalam bilik hotel

Sepuluh individu membabitkan enam lelaki dan empat perempuan ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menjadikan sebuah bilik hotel di Butterworth di sini, sebagai lokasi berparti, pada operasi jam 1.15 pagi tadi.

Dalam operasi pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB itu, kesemuanya yang berusia 15 hingga 23 tahun didapati sedang berhibur dalam bilik hotel terbabit tanpa mematuhi SOP.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan dijalankan di tingkat lapan hotel terbabit sebelum kegiatan itu terbongkar.

“Individu membabitkan enam lelaki dan empat perempuan itu sedang leka berhibur dan secara jelas melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tidak cukup dengan itu, ujian saringan air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah,” katanya pada kenyataan.

Noorzainy berkata, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada setiap individu terbabit.

“Lima yang positif dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/642725/10-ditahan-berparti-dalam-bilik-hotel

Artikel ini disiarkan pada 17/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)