Doa ibu bapa termakbul – mayat mangsa ditemui

Berkat doa kedua ibu bapa yang tidak putus-putus mengharapkan jasad dapat dikebumikan di tanah perkuburan, akhirnya mayat Loqman Hamka, 20, ditemukan hari ini walaupun operasi pencarian telah ditamatkan semalam.

Sebelum ini bapa mangsa Hamka Abu Bakar, 62, menyatakan meskipun reda dia dan isterinya Rohaya Ismail, 56, sentiasa berdoa mangsa dapat ditemukan kerana ingin mengebumikan anak bongsu mereka di tanah perkuburan.

Difahamkan mayat mangsa ditemukan seorang penduduk kampung yang kebetulan turun untuk memancing di sungai berkenaan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sobri Mohd. Salleh berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 7.45 pagi oleh penduduk yang turun ke sungai.

“Mayat mangsa ditemukan berhampiran Kampung Batu Papan, Bera iaitu kira-kira 34 kilometer daripada kawasan pusat operasi di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh.

“Berdasarkan maklumat mayat mangsa ditemukan terapung dalam keadaan sempurna dan berpakaian,” katanya di sini hari ini.

Pada 27 November lalu mangsa, Loqman Hamka, 20, yang keluar menaiki bot bagi melihat rawai yang dipasang di Sungai Pahang dikhuatiri lemas.

Menurut Mohd. Sobri, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu katanya, lokasi mayat mangsa ditemukan iaitu selepas Jambatan Baharu Guai merupakan antara lokasi pencarian sebelum ini.

Jelasnya operasi yang dilakukan sebelum ini telah dibuat sehingga 52 kilometer iaitu sehingga ke kawasan Chenor, Maran

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/12/08/doa-ibu-bapa-termakbul-mayat-mangsa-ditemui/

Artikel ini disiarkan pada 08/12/2020

COMMENTS

Wordpress (0)