Fenomena La Nina dijangka mengakibatkan bencana seperti banjir besar di lima buah negeri

Fenomena La Nina dijangka mengakibatkan bencana seperti banjir besar di lima buah negeri

Fenomena La Nina dijangka mengakibatkan bencana seperti banjir besar di lima buah negeri. Perubahan iklim ekoran fenomena La Nina dan luruan Monsun Timur Laut pada November depan kemungkinan akan mengakibatkan Malaysia berdepan dengan cuaca ekstrem termasuk banjir besar yang mengancam keselamatan penduduk di lima buah negeri.

Banjir besar diramal melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor sekiranya ­angin yang terhasil susulan fenomena dan luruan tersebut lebih kencang daripada cuaca buruk yang mengakibatkan bencana teruk pada 1972 dan 2021.

Selain itu, Sarawak dan Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung be­risiko berdepan dengan puting beliung dan hujan batu akibat daripada pemanasan global yang menyaksikan cuaca bertambah lembap akibat perubahan iklim.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, banjir besar selalunya dikait dengan luruan monsun yang terjadi semasa Monsun Timur Laut.

“Ini boleh menghasilkan hujan lebat dengan jenis awan berskala meso iaitu panjang 100 kilometer (km) dan lebar 100km yang akan membawa hujan berterusan lebih dari 48 jam dan akan menyebabkan banjir besar.

Fenomena La Nina dijangka mengakibatkan bencana seperti banjir besar di lima buah negeri

“Fenomena La Nina berkait dengan iklim iaitu pengaruhnya bersifat berbulan-bulan. Jadi La Nina telah mempengaruhi keja­dian lebihan hujan sejak 2021, selalunya fenomena ini dikaitkan dengan banjir besar seperti 1972 dan terbaharu pada 2021.

“Fenomena La Nina diramal akan bertahan sehingga Disember akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Azizan, fenomena La Nina, menjadikan suhu permukaan laut di Pasifik Barat lebih panas daripada biasa menyebabkan berlakunya rangsangan perolakan yang akan menjadikan sebahagian kawasan Malaysia berdepan curahan hujan 10 ke 20 peratus lebih tinggi berbanding kebia­saan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara sedang mengalami kesan perubahan iklim akibat dari pemanasan global yang menyebabkan potensi berlakunya cuaca ekstrem semakin meningkat.

“Adakalanya sesuatu feno­mena cuaca itu berlaku di luar dari tempoh kebiasaannya. Contohnya, cuaca ekstrem adalah ribut petir bertambah kuat sehingga boleh menghasilkan pu­ting beliung dan hujan batu,” katanya.

Jelasnya, La Nina mampu menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif sekali gus menghasilkan ribut petir serta angin lebih kencang disebabkan kekuatan angin timuran.

Sehubungan itu, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Ta­nah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer turut memberi amaran La Nina akan mendorong kepada masalah kestabilan tanah.

“Hujan berintensiti tinggi de­ngan ribut petir akan kerap turun di beberapa kawasan di Malaysia. Ancaman hakisan pantai pasti berlaku apabila garis pantai me­nerima hentaman ombak bersifat memusnah yang tinggi.

“Kawasan pantai berpasir de­ngan zon litoral yang pendek dan cetek akan mengalami hakisan lebih ekstrem berbanding zon litoral yang panjang dan landai.

“Ia berlaku disebabkan ombak yang dijana dihasilkan oleh tiupan angin kencang yang lazimnya mempunyai gelombang pendek dan berfrekuensi tinggi,” katanya

BACA:

Ini Sebab Bekas imam Masjidil Haram dipenjara

Individu pertama kali masuk penjara akan alami 3 peringkat ini

Artikel ini disiarkan pada 30/08/2022

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Fenomena La Nina dijangka mengakibatkan bencana seperti banjir besar di limuah negeria b […]