Halang Keluar Akaun 1 KWSP Adalah Tindakan Terpuji

Memang benar, duit simpanan KWSP adalah hak milik kita sendiri, ia tidak pernah dan tidak boleh dinafikan. Itulah duit yang kita kumpul secara paksa setiap bulan dengan cara pemotongan gaji mengikut peratusan tertentu.

Namun tuan-tuan perlu ingat, duit KWSP ini adalah wang simpanan untuk hari tua kita, untuk masa depan yang lebih baik walaupun latar masa musim Covid-19 yang berada di depan kita ini cukup ketandusan. Jika duit ini khususnya dari akaun 1 KWSP diusik sungguhpun pada jumlah yang sedikit, maka hilanglah masa depan kita.
Tuan-tuan semua dinasihatkan supaya janganlah diperjudikan masa depan tuan-tuan dengan mengorek duit KWSP akaun satu ini. Sedarlah bahawa ramai di antara kita yang telah menggunakan duit akaun dua KWSP untuk pelbagai kegunaan. Ada yang lanjutkan pelajaran, ada yang diguna untuk membeli rumah, untuk pergi haji dan sebagainya.
Malah ada yang akaun kedua KWSPnya sudah sudah hampir kosong dek kerana dikorek setiap bulan saban tahun. Tidak cukupkah duit akaun dua KWSP dihabiskan hingga timbul idea mahu mengorek akaun satu pula?

Meskipun jumlah yang ingin dikeluarkan itu hanya berjumlah RM10 ribu sahaja, cuba bayangkan berapa pula jumlah yang perlu KWSP keluarkan jika yang memohon itu 5 juta pencarum? bukankah angkanya akan mencecah 50 bilion? Angka ini jika digunakan untuk pelaburan yang membantu ekonomi, pastinya ia jauh lebih baik hasilnya daripada digunakan secara runcit-runcit oleh tuan-tuan.

Kita sebagai rakyat Malaysia, walaupun mempunyai sebuah kerajaan yang tidak menang melalui pilihanraya, namun kita harus bersyukur kerana kerajaan tersedia ada ini begitu mengambil berat soal masa depan dan hari tua kita apabila Perdana Menterinya bertegas menolak asakan rakyat untuk mengusik akaun 1 KWSP.

Kita haruslah bersyukur kerana jika di negara lain, mungkin saja duit simpanan hari tua kita ini digunakan sewenangnya untuk menyelamatkan ekonomi negara, mungkin saja tabungan ini digunakan untuk melindungi syarikat konglomerat yang terpaksa menggulung tikar akibat bencana Covid-19 maka syarikat besar ini di’bail-out’ supaya terus beroperasi. Mujurlah negara kita tidak sedemikian, ia mungkin berlaku di negara-negara Afrika.

Perdana Menteri kita menyatakan kebimbangan yang berasas, yakni kita sememangnya mampu untuk menghadapi kemelesetan ekonomi ekoran wabak Covid-19 ini bersama-sama, tanpa perlu pengeluaran akaun 1 KWSP, dan juga tanpa perlu negara berada dalam situasi darurat.

Jika dikatakan akaun 1 KWSP ini tidak langsung diberi peluang untuk digunapakai, ternyata ia satu tuduhan yang meleset. Tuan-tuan dibenarkan untuk mengusik akaun satu ini hanya untuk tujuan pelaburan semata-mata. Kendatipun risiko pelaburan hangus itu tetap ada, namun kita dibenar untuk guna akaun 1 KWSP itu untuk pelaburan kerana dana tersebut mampu menjana ekonomi negara.

Andainya pelaburan tuan-tuan itu mengalami kerugian, ia tidak menjejaskan kantung kerajaan tetapi hanya melibatkan akaun 1 KWSP tuan-tuan sahaja. Pelaburan akaun 1 KWSP adalah bukti betapa kerajaan juga memberi ruang untuk tuan-tuan membantu tanahair. Baiknya kerajaan ini membuka peluang untuk tuan-tuan melabur, tetapi untuk keluarkan duit ini dari akaun 1 KWSP ke poket tuan-tuan, maaflah itu tidak wajar.

Kita sebagai rakyat yang cakna dan prihatin, harus sentiasa berkorban demi negara tercinta. Duit akaun 1 KWSP itu janganlah difikirkan sangat. Biarlah duit itu diuruskan dengan baik oleh pihak-pihak yang berauthoriti dengan kepakaran ekonomi yang tinggi. Yakinlah duit tuan-tuan itu selamat dan dijamin pulangannya.

Tuan-tuan yang budiman. Fikirlah baik-baik, jika wang simpanan yang hampir mencecah 1 trilion ini dicairkan untuk tuan-tuan, bagaimanakah kerajaan kita ingin menambah jumlah pinjaman sedia ada? Kerajaan ini adalah kerajaan tuan-tuan juga, justeru itu tiada salahnya kita melakukan pengorbanan dengan tidak langsung mempersoalkan duit tabungan ini, apatah lagi untuk mengeluarkannya demi kepentingan sendiri. Negara ini jauh lebih penting.

Akhir kalam, pengorbanan itu sebenarnya bukan sahaja bersedia bahkan memahami intipati nilai sebuah pengorbanan, kerana apabila kita diuji dalam melaksanakan pengorbanan, kita juga harus belajar untuk menerima satu perkara yang dinamakan TAKDIR.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger

Sumber:

Artikel ini disiarkan pada 03/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)