Isu yuran universiti antara hangat diperkata oleh mahasiswa dan ibu bapa

Isu yuran universiti antara hangat diperkata oleh mahasiswa dan ibu bapa

Isu yuran universiti antara hangat diperkata oleh mahasiswa dan ibu bapa. Yuran universiti dibayar secara ansuran, selain pemotongan yuran pengajian mengikut tangga pendapatan keluarga antara cadangan dikemukakan demi menyerap tekanan kos sara hidup mahasiswa.

Bapa kepada mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Jeffri, 45, berkata dirinya turut terbeban kesan kenaikan kos sara hidup sehingga menyebabkan perbelanjaan keluarga bagi menampung kos pengajian anaknya di universiti turut bertambah.

Justeru itu, dia mencadangkan kepada pihak universiti memberikan kelonggaran kepada ibu bapa membayar yuran pengajian anak-anak mereka secara ansuran, termasuk memotong jumlah yuran dikenakan.

“Universiti jangan bertegas untuk menahan keputusan pelajar atau menarik tawaran asrama sekiranya ada yuran pelajar tertunggak,” cadangnya ketika dihubungi pemberita.

Mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM), Alia Fatiha, 20, berkata pihak universiti perlu mempertimbangkan pemotongan yuran atau pemberian biasiswa kepada pelajar mengikut tangga pendapatan keluarga.

“Keutamaan (pemotongan yuran atau biasiswa) perlu diberikan kepada golongan B40 terlebih dahulu, dan seterusnya M40 kerana mereka lebih terjejas kerana sumber pendapatan isi rumah mereka yang terhad,” katanya.

Dalam pada itu, Muslim Bahar, 21, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengharapkan pemotongan yuran signifikan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang yang turut dirasai pelajar.

Katanya, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan pelajar terpaksa menghadiri kelas dalam talian antara 2020 hingga 2021, tiada sebarang pemotongan yuran signifikan dibuat pihak universiti.

“Seperti yang kita tahu, pada jangka masa tersebut berlakunya PKP dan oleh itu mahasiswa dibolehkan untuk tidak pulang ke kampus kerana pembelajaran dijalankan secara dalam talian.

“Bagaimanapun, yuran pengajian masih kekal seperti sewaktu tiadanya PKP seperti sekarang,” tegas Muslim.

Berkenaan dengan pemotongan yuran universiti, Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ooi Guo Shen, berkata pihaknya akan mengajukan kepada Jawatankuasa Yuran Universiti Malaya bagi memberikan pengecualian separuh yuran fasiliti kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri.

Katanya, hal ini adalah tidak wajar bagi mana-mana pelajar yang menjalani latihan industri untuk membayar yuran penuh, sedangkan mereka tidak mengikuti apa-apa kelas dan menggunakan mana-mana fasiliti universiti.

“Kita berharap pihak UM boleh meluluskan permohonan ini. Ia sedikit sebanyak kesan peningkatan kos sara hidup, khasnya apabila mereka menyerap kos tambahan dari segi penginapan, pengangkutan dan makan minum di luar kampus,” katanya.

BACA JUGA:

Julang Piala Dunia selepas 36 tahun, pelengkap kerjaya Messi sekaligus kekalahan Perancis

Usul undi percaya hari ini, bajet dijangka esok, RM55 billion

Radzi sebagai speaker seakan cetus kontroversi, antara desas desus politik terkini

Artikel ini disiarkan pada 24/12/2022

COMMENTS

Wordpress (0)