Jazlan bukan Pengerusi FELCRA, pelantikan politik dalam GLC ditangguh

Jazlan bukan Pengerusi FELCRA, pelantikan politik dalam GLC ditangguh

Jazlan bukan Pengerusi FELCRA, pelantikan politik dalam GLC ditangguh. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Mengenai pelantikan Pengerusi Felcra, memang sudah dimaklumkan kepada TPM dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri.

Pada 16 Disember lalu, Ahmad Zahid memberitahu, Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Ahmad Zahid berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan kekeliruan banyak pihak berhubung lantikan politik.

Beliau menegaskan beliau tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat poilitik itu tidak boleh menjadi pengurusan.

“Tetapi mereka itu mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

“Itu saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang ditugaskan tetapi kita menetapkan kaedah dan keupayaan profesional dan prestasi sebelumnya pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.

Anwar sebaliknya menjelaskan, keputusan penamatan jawatan lantikan politik pengerusi dan ahli lembaga pengarah dibuat kerana memberi ruang untuk menilai prestasi masing-masing.

Kata beliau, ini termasuk supaya mereka tunduk kepada garis panduan dan tata kelola yang ditetapkan kerajaan.

“Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu seumpamanya ada satu syarikat kerajaan ada syarikat kecil, syarikat induk itu mengalami masalah kewangan dan syarikat kecil itu keuntungan besar. Jadi syarikat kecil itu nak memberikan bonus yang besar.

“Hal-hal ini kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jemaah Menteri yang dikatakan sudah memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Ia membabitkan jawatan berkenaan di badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (Diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

BACA JUGA:

Bekas isteri SM Faisal akan ditangkap kali kedua kerana ingkar proses lawatan tiga anaknya

Kerajaan tidak perlukan lagi khidmat MPN, fungsi bertindih malah banyak lebihan kos yang terpaksa ditanggung

Kelihatan lagi di jalan awam, S50 atau Proton Sedan sedang dipandu uji

Artikel ini disiarkan pada 23/12/2022

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] Jazlan bukan Pengerusi FELCRA, pelantikan politik dalam GLC ditangguh […]

  • […] Jazlan bukan Pengerusi FELCRA, pelantikan politik dalam GLC ditangguh […]