Kempen pilihan raya selamat?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang bekerjasama rapat dengan jabatan dan agensi yang berkenaan dalam memastikan perjalanan pilihan raya berjalan dengan lancar ketika pandemik COVID-19 menular.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kerjasama itu penting untuk sebarang pelaksanaan kawalan berkuatkuasa dari semasa ke semasa selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“SPR sebelum ini, telah memaklumkan melalui kenyataan media berkenaan dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Garis panduan ini dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Astro AWANI.

BACA: SPR pertimbang cadangan tambah kategori individu undi pos – Pengerusi

Mengulas berkenaan aktiviti kempen, Abdul Ghani berkata, calon atau parti bertanding sememangnya digalakkan berkempen mengunakan platform media sosial.

“Ia seperti mana yang disarankan sejak penularan pandemik COVID-19, bermula dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Slim dan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Bukan itu sahaja, calon atau parti bertanding juga digalakkan menggunakan media massa untuk berkempen seperti melalui iklan surat khabar ataupun temu ramah.

“Pada masa yang sama, pengedaran risalah melalui pos juga boleh dilaksanakan. Ini terpulang kepada kreativiti calon atau parti yang bertanding untuk meraih sokongan,” ujarnya.

Tambah beliau, SPR yakin sekiranya semua pihak berganding bahu dan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mematuhi norma baharu dan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 dalam pilihan raya, ia boleh dilaksanakan dengan selamat.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kempen-pilihan-raya-selamat-terpulang-kepada-kreativiti-calon-parti-spr-268554

Artikel ini disiarkan pada 16/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)