“Kerajaan Permuafakatan Besar mencapai majoriti dua pertiga…”- Asyraf Wajdi

“Kerajaan Permuafakatan Besar mencapai majoriti dua pertiga…”- Asyraf Wajdi

“Kerajaan Permuafakatan Besar mencapai majoriti dua pertiga…”- Asyraf Wajdi. Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, menyebabkan rupa bentuk kerajaan kini berubah kepada ‘grand coalition’ atau permuafakatan besar oleh parti politik.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan bentuk baru kini membabitkan gabungan Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.

“Setakat hari ini, sebelum diabsahkan di Parlimen kelak melalui (usul) undi percaya, komposisi kerajaan dan pembangkang adalah 148 atau majoriti dua pertiga memihak kerajaan dan pembangkang, 73 kerusi.

“Belum tahu keputusan, satu (kerusi) di Parlimen Padang Serai. Jadi jumlah keseluruhan adalah 222 kerusi Parlimen,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditunda kepada 7 Disember depan selepas seorang calonnya yang disahkan bertanding kerusi itu sebelum ini meninggal dunia ketika tempoh kempen.

Asyraf berkata, menerusi permuafakatan membentuk kerajaan kukuh hingga mencapai majoriti dua pertiga kini, diharapkan sebuah pentadbiran negara yang stabil dapat beroperasi demi mewujudkan keyakinan pelabur sekaligus mencapai kemakmuran yang didambakan rakyat.

“Pembangkang juga dapat berperanan dengan lebih efektif sebagai agen semak dan imbang yang baik untuk perjalanan sistem demokrasi yang mampu memanfaatkan dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis lalu memaklumkan akan mengemukakan usul undi percaya terhadapnya di Parlimen, bagi menguji tahap sokongan yang diterima daripada Ahli Parlimen.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataannya semalam menzahirkan keyakinan 30 Ahli Parlimen BN akan mengundi menyokong usul berkenaan, yang dijangka dibentang di Parlimen pada 19 November ini.

Ketika Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun sendiri mencadangkan supaya usul percaya itu dibentangkan di Dewan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen PH, menyatakan ia tidak perlu memandangkan Perdana Menteri kini sudah memperoleh sokongan majoriti 112 Ahli Parlimen.

Sidang Parlimen bermula 19 Disember depan adalah untuk menyambung urusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023.

BACA JUGA:

Kereta Dipandu Sendiri Oleh Sultan Brunei membawa Anwar ke Seri Perdana

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Berangkat bertemu PM Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tiga buah Kenderaan di hempap Pokok 20 buah rumah rosak dilanda Ribut

Artikel ini disiarkan pada 28/11/2022

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] “Kerajaan Permuafakatan Besar mencapai majoriti dua pertiga…”- Asyraf Wajdi […]