Kunjungan Timor-Leste ke Malaysia, bertemu PMX dan Menteri Ekonomi, naiktaraf kerjasama dua hala antara negara

Kunjungan Timor-Leste ke Malaysia, bertemu PMX dan Menteri Ekonomi, naiktaraf kerjasama dua hala antara negara

Kunjungan Timor-Leste ke Malaysia, bertemu PMX dan Menteri Ekonomi, naiktaraf kerjasama dua hala antara negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta serta mengadakan perbincangan dua hala di Seri Perdana di sini.

Ramos-Horta dan delegasi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan khas dan antaranya bertemu Anwar bagi membincangkan serta menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara selain meneroka ruang kerjasama baharu.

Dalam perbincangan hampir sejam bermula kira-kira 12.10 tengah hari, Ramos-Horta turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Turut serta dalam perbincangan dua hala itu Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad.

Hadir sama Ketua Pengarah Hal Ehwal ASEAN Timor Leste, Milena Rangel dan Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia, Joana Veneranda Amaral.

Ramos-Horta dan delegasi kemudiannya diraikan dalam jamuan tengah hari.

Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan yang erat dan mesra sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.

Malaysia adalah negara pertama menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dalam kalangan negara ASEAN yang menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.

Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk para pegawai Timor Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Pada 2021, Malaysia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Timor-Leste dan destinasi eksport ke-13 serta sumber import ketujuh.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencatatkan AS$84.6 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022.

BACA JUGA:

Masa untuk berkenalan apa itu Keringkam, hadiah Raja Permaisuri Agong buat Sarawak

Peminat Realme boleh lihat 4 ciri baharu dan senarai telefon yang akan terima ciri UI 4.0

Terima kasih Fatin Najwa, kongsi tips bermanfaat untuk yang hadir temuduga SPA

Artikel ini disiarkan pada 13/12/2022

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Kunjungan Timor-Leste ke Malaysia, bertemu PMX dan Menteri Ekonomi, naiktaraf kerjasama dua hala ant… […]