lima beradik berdepan hukuman mati

Enam individu termasuk lima beradik didakwa di Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dua minggu lalu.

Tertuduh, S Rathiswaran, 23; S Suthentiran,21; S Suridharan, 20; S Suthesan, 18, dan adik lelaki mereka berusia 17 tahun bersama seorang lelaki warga Myanmar, Kyaw, 23, didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 37.2 kilogram (kg) di Mukim Chenderiang di sini, jam 9.15 pagi 4 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Lima beradik berkenaan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Bagaimanapun seorang lagi tertuduh warga Myanmar tidak memahami pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Mohd Harith kemudiannya menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan khidmat jurubahasa untuk Kyaw.

Mahkamah turut menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli dan tertuduh diwakili peguam bela Rajit Singh.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/754692/edar-dadah-lima-beradik-berdepan-hukuman-mati

Artikel ini disiarkan pada 16/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)