Mohamad Sabu kecam tindakan pihak yang cuba menghina Nabi

Presiden AMANAH Mohamad Sabu, mengecam tindakan pihak yang cuba menghina para Nabi yang menurutnya sama ada Muhammad, Abraham, Moses atau Jesus, semuanya adalah nabi-nabi yang diutuskan Allah.

Beliau menegaskan, sesiapa sahaja tidak kira individu atau pemimpin negara yang menghina para Nabi adalah golongan yang tidak bertamadun dan tidak menghormati kitab-kitab suci sama ada Al-Quran atau Injil dan Taurat.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga mengkritik tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai menunjukkan karakter yang hodoh terhadap agama lain selain tidak menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang sepatutnya mengangkat nilai penghormatan kepada semua agama.

“Kita tidak bersetuju sama sekali dengan pandangan yang diberi oleh Macron terhadap Islam dan Rasulullah SAW. Ia adalah satu kefahaman yang salah terhadap agama Islam.

“Jika ada Muslim yang melakukan kesalahan, kekejaman, kezaliman atau kesesatan, maka ia adalah kesalahan individu muslim tersebut, bukannya kesalahan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan insiden pembunuhan seorang guru di Perancis yang dipenggal selepas menghina Nabi Muhammad dengan menayangkan karikatur baginda Nabi.

Mohamad menyifatkan seharusnya Presiden Perancis mengecam individu yang melakukan pembunuhan tersebut dan bukannya mengecam agama yang dianutinya.

Beliau juga menasihatkan agar Macron belajar daripada Perdana Menteri New Zealand yang berjaya mengendalikan kes pembunuhan umat Islam di Christchurch pada satu ketika dahulu.

“Perdana Menteri New Zealand mengendalikan kes itu dengan baik dan harmoni. Beliau mengecam pembunuh tersebut tanpa mengaitkan dengan sebarang agama.

“Bahkan pemimpin pemimpin dunia Islam dan umat Islam Islam sendiri menerima ianya kekejaman individu tersebut, bukannya agama yang dianutinya.

“Oleh itu, negara negara Barat khasnya Macron yang memimpin negara yang dikatakan bertamadun, sepatutnya memahami kesalahan individu tidak boleh disandarkan kepada agama yang dianutinya,” tegasnya.

Sementara itu Mohamad berkata, sebarang kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan radikal seperti Al-Qaeda dan ISIS juga adalah kesalahan mereka dan kumpulan mereka sendiri kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya bersikap ekstrim dan kejam seperti itu.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/hina-para-nabi-adalah-manusia-tidak-bertamadun/

Artikel ini disiarkan pada 31/10/2020

COMMENTS

Wordpress (0)