Najib ada 5 KES semuanya ,baru satu Di jatuh hukuman

Najib ada 5 KES semuanya ,baru satu Di jatuh hukuman

Najib ada 5 KES semuanya ,baru satu Di jatuh hukuman.Walaupun sudah dipenjarakan bermula hari ini, Datuk Seri Najib Razak masih perlu turun naik ke mahkamah bagi menghadapi empat lagi kes yang sedang berjalan perbicaraan ketika ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, tetapi keputusan mahkamah hari ini hanya satu kes daripada lima kes jenayah yang sedang dihadapinya.

1) Kes seleweng dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Perbicaraan kes ini sedang berlangsung melibatkan Najib atas pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

2) Kes pinda laporan akhir audit 1MDB, Najib dan Arul Kanda

Najib dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

3) Kes pecah amanah RM6.6 bilion Najib dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kedua-dua didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

4) Pengubahan wang haram RM27 juta SRC International

Selain perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International, Najib juga berdepan satu lagi pendakwaan melibatkan pengubahan wang haram RM27 juta daripada syarikat sama.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mana beliau didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014, menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, bekas Perdana Menteri sedang menghadapi sekurang-kurangnya 30 pertuduhan jenayah dan sedang dalam peringkat perbicaraan di mahkamah.

Baca :Tebal muka bila ‘perform’ tapi penonton macam tak kisah

Artikel ini disiarkan pada 23/08/2022

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Baca :Najib ada 5 KES semuanya ,baru satu Di jatuh hukuman […]