Nasib baik abang bomba muncul…

Selepas menahan sakit pinggang dan sesak nafas lebih satu jam, wanita warga emas terpaksa diusung pasukan penyelamat dari rumahnya di Kampung Simpangan, di sini, untuk dihantar ke Hospital Tumpat, hari ini.

Mek Mamat, 70, yang mengalami masalah paru-paru kronik dan sakit pinggang diusung keluar sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor pada 9.45 pagi tadi.

Ketua BBP Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, ketika menjalankan pemantauan banjir bersama anggotanya, kenderaan mereka ditahan oleh anak mangsa yang meminta bantuan agar membawa ibunya yang sedang sakit di rumah.

“Kami segera pulang ke balai untuk menukar kenderaan dan membawa lori bagi memudahkan proses membawa mangsa yang terlantar.

“Ketika tiba di rumahnya, mangsa kelihatan lemah dan kedengaran mengadu kesakitan serta sesak nafas menyebabkan saya bersama lima anggota bertindak segera dengan mengangkatnya ke dalam lori.

“Kawasan sekitar rumah mangsa tidak dinaiki air, namun laluan untuk ke sana menerima limpahan air dari Sungai Golok dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, sebaik melepasi laluan yang dilimpahi air, mangsa dipindahkan ke dalam ambulans yang menunggu di tepi jalan.

Sementara itu, anak mangsa, Norliza Mohd Yaacob, 37, berkata ibunya mengadu sakit pada 8.30 pagi lalu dia mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital kerana keadaannya semakin teruk.

Menurutnya, laluan Jalan Kesban di Pulau Ular tidak boleh dilalui kenderaan ringan menyebabkan timbul rasa cemas, sementara bapa saudara keluar mencari pertolongan.

“Nasib baik ada pasukan bomba yang kebetulan memantau banjir di kawasan sekitar dan emak segera diselamatkan dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tumpat,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655650/nasib-baik-abang-bomba-muncul

Artikel ini disiarkan pada 21/12/2020

COMMENTS

Wordpress (0)