Pelajar kolej swasta dicabul dan dipaksa melakukan seks oral

Polis menerima satu lagi laporan kes cabul membabitkan pendakwah selebriti yang didakwa berlaku pada hujung tahun lalu, sekali gus menjadikan sembilan laporan diterima setakat ini.

Dalam laporan terbaru, mangsa ialah jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur mendakwa dicabul suspek pada Disember tahun lalu di sebuah unit studio di Seksyen 7 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata mangsa berusia 26 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Ahad lalu dan kes berkenaan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Difahamkan, mangsa mengenali suspek menerusi media sosial pada 2018 dan mula berkawan sejak itu.

“Modus operandi (MO) suspek sama seperti kes sebelum ini yang dia akan mengajak mangsa keluar makan sebelum membawa mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu mengambil barang.

“Bagaimanapun semasa di rumah, dia didakwa memeluk mangsa daripada belakang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Seri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.

Noor Azam berkata, dengan laporan terbaru itu, secara keseluruhan pihaknya sudah menerima sembilan laporan membabitkan dakwaan rogol dan cabul.

Bagaimanapun katanya, dua daripada laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Noor Azam, pihaknya kini masih menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.

“Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut. Suspek kini masih dalam perintah reman hingga Jumaat,” katanya.

Semalam, suspek yang juga bekas peserta realiti keagamaan itu direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).

Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada akhir bulan lalu.

Laporan pertama dibuat di IPD Petaling Jaya pada 29 November lalu oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar kolej swasta atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan seks oral oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana, dekat sini.

Laporan kedua pada 30 November lalu pula, dibuat di Balai Polis Damansara oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun atas dakwaan dirogol suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/762775/satu-lagi-laporan-cabul-terhadap-pendakwah-selebriti

Artikel ini disiarkan pada 08/12/2020

COMMENTS

Wordpress (0)