Pelanggan teruja,Pemilik restoran lega

Pelanggan teruja,Pemilik restoran lega

Pemilik restoran, kedai makan dan gerai sekitar bandar raya ini lega dibearkan menyediakan perkhidmatan makan kepada pelanggan di dalam premis, berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan di Tampoi dan Bandar Baru Uda mendapati pelanggan mula hadir ke premis berkenaan untuk menikmati hidangan sejak awal pagi.

Bagaimanapun,pelanggan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan MySejahtera untuk merekodkan kehadiran selain dua orang semeja.

Pemilik Dahliana Cafe, Fadhilah Ahmad, 45, lega apabila kerajaan membenarkan pelanggan menikmati hidangan di premis mulai hari ini.

Katanya, pendapatan menjunam hampir 50 perarus berikutan kekurangan pengunjung hadir membeli juadah dan makanan disediakan ketika pelanggan tidak dibenarkan makan di premis .

“Alhamdulilah, sejak 6.30 pagi tadi ramai pengunjung hadir menikmati juadah dan mereka juga teruja.

“Saya dan pekerja juga perlu memasak beberapa makanan semula berikutan kehadiran pengunjung yang bertambah berbanding ketika hanya dibenarkan untuk bungkus.

“Bagaimanapun, saya dan pekerja menasihatkan setiap pelanggan mematuhi SOP ditetapkan dan tidak akan mengambil pesanan jika mereka ingkar patuh,” katanya ketika ditemui.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan restoran menyediakan perkhidmatan makan di dalam premis kepada pelanggan, berkuat kuasa hari ini, namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kebenaran itu adalah tambahan kepada SOP sebelum ini yang hanya membolehkan restoran beroperasi secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.

Ismail Sabri dilaporkan berkata jumlah pelanggan dihadkan hanya dua orang untuk satu meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, manakala tempoh operasi antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, pekerja Dahliana Cafe, Kodar Wadim, 27, turut lega apabila majikannya memanggil semula dirinya bekerja selepas diminta bercuti berikutan kekurangan pelanggan dan tugas yang tidak banyak.

“Alhamdullilah, saya bersyukur kerana dengan keputusan kerajaan ini, pendapatan kami pekerja kecil akan kembali seperti biasa dan tidak lagi risau memikirkan pendapatan yang berkurang.

“Sebelum ini, majikan terpaksa meminta pekerja bercuti buat sementara dan digilirkan bekerja kerana tugas yang tidak banyak dan pelanggan yang berkurangan,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Rashidin Ehsan, 61, berkata, pelanggan sepertinya turut berasa teruja dan lega dengan keputusan kerajaan itu.

“Saya dan isteri memang rutin setiap pagi akan bersarapan di kedai makan sebelum meneruskan aktiviti lain,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/673160/pemilik-restoran-lega-pelanggan-teruja

Artikel ini disiarkan pada 10/02/2021

COMMENTS

Wordpress (0)