Pemuda Rohingya didakwa rogol dua beradik

Pemuda Rohingya didakwa rogol dua beradik.Seorang tukang sapu warga Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik perempuan di bawah umur, baru-baru ini.

Tertuduh, Ibrahim Abul Salam, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama iaitu kira-kira pukul 11 pagi pada 24 Julai lalu, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pertama yang ketika itu berusia 12 tahun enam bulan.

Pertuduhan pertama untuk mangsa kedua pula berlaku sehari kemudian iaitu kira-kira pukul 1 petang apabila tertuduh sekali lagi melakukan amang seksual fizikal terhadap adik mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun tiga bulan.

Kedua-dua pertuduhan itu berlaku di lokasi yang sama iaitu di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati merogol dua beradik itu iaitu antara Januari hingga Disember tahun lepas di lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang juga boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan untuk kesalahan rogol melibatkan mangsa pertama.

Bagi kesalahan melibatkan mangsa kedua pula, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun selain dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Sheqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam, Rafael Abdullah. Mahkamah menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa.

Baca :Keadaan terkini Chef Turki badan makin susut

Artikel ini disiarkan pada 02/08/2022

COMMENTS

Wordpress (0)