Pemuda Umno minta kerajaan pertimbang semula pengeluaran KWSP

Umno meminta kerajaan pertimbang semula kebenaran pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika rakyat berdepan kesulitan akibat Covid-19.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan perlu membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan dan caruman KWSP mereka sekurang-kurangnya RM5,000 dan boleh ditetapkan pada had RM10,000.

“Hakikatnya, rata-rata rakyat merintih dan menyampaikan keluhan dan keresahan mereka betapa perit dan sempitnya kehidupan di tengah-tengah Covid-19 yang memberi kesan langsung terhadap kelangsungan hidup ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Justeru, katanya, Pemuda Umno Malaysia akan menyampaikan secara rasmi harapan rakyat itu kepada Menteri Kewangan dalam masa terdekat.

“Cadangan kami berikan kelonggaran pengeluaran hanya ketika rakyat dihimpit kesusahan ketika ini. Pengeluaran juga boleh dibenarkan secara beransur-ansur tidak sekali gus.

“Apabila situasi kembali pulih, pencarum boleh kembali digalakkan untuk menambah semula caruman mereka,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berkata agak sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

“Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

“Memang ramai yang teks saya berkata ‘tolonglah Tan Sri, kami susah.’ Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat,” katanya dalam satu program di Pagoh.

Najib cadang Bank Negara bantu beli bon

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak berkata KWSP boleh meminta bantuan Bank Negara (BNM) bagi membolehkan pengeluaran caruman akaun 1 KWSP.

“Jika KWSP atau kerajaan bimbang dengan tekanan ke atas pasaran bon tempatan akibat pencairan bon sehingga nilai RM45.7 bilion dalam masa yang singkat untuk pembiayaan skim pengeluaran “one-off” ini, BNM boleh membantu sebab mereka dibenarkan untuk membeli bon dari pasaran tempatan jika diperlukan.

“Langkah BNM ini tidak berbahaya sebab Malaysia dan dunia kini dalam zaman inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan.

“KWSP juga boleh memilih untuk membayar pengeluaran ‘one-off’ ini secara bulanan dalam tempoh 3 bulan atau 6 bulan,” kata Najib di Facebooknya.

Katanya, bila duit ini sampai kepada rakyat yang terdesak dan dibelanjakan, ekonomi tempatan akan terus dirancakkan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/548828

Artikel ini disiarkan pada 31/10/2020

COMMENTS

Wordpress (0)