Penganggur tak mengaku salah langgar polis

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melanggar seorang anggota polis sehingga parah dalam satu sekatan jalan raya Selasa lalu.

Nor Azman Mat Salleh, 35, dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 11.15 pagi di Jalan Silibin, dekat sini, dengan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan Mohd Aizal Md Lazim yang sedang bertugas ketika sekatan jalan raya diadakan, cedera parah.

Penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda sehingga RM50,000 dan dipenjara 7 tahun hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan di depan Majistret Umzarul An Nur Umar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah kerana mempunyai anak masih kecil dan isterinya sarat mengandung.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sehingga sebutan semula kes pada 14 Jan depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga prosiding kes itu selesai.

Selasa lalu, lelaki itu merempuh anggota polis terbabit dari arah belakang ketika cuba meloloskan diri daripada sekatan polis, menyebabkan mangsa melambung serta berpusing sebelum terjatuh dan terseret hampir 5m di jalan raya.
Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/27/penganggur-tak-mengaku-salah-langgar-polis-hingga-parah/

Artikel ini disiarkan pada 27/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)