Polis giat kesan anggota terlibat kes pukul pekerja asing

Polis sedang giat mengesan seorang anggota polis yang terlibat dalam kes pukul seorang pekerja kilang warga asing dalam kejadian yang berlaku di Taman Jasmin, Senawang di Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa dalam proses untuk dihantar ke pusat kuarantin COVID-19 dan polis juga sedang mengesan mangsa terbabit.

“Satu laporan polis telah diterima berkait video yang tular dalam media sosial itu. Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci tanpa sebarang kompromi serta akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Semalam, tular sebuah klip video berdurasi enam saat yang memaparkan seorang lelaki beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat menendang seorang pekerja asing berkali-kali.

Ketika kejadian, mangsa yang dipercayai warga Myanmar sedang duduk secara berderet bersama-sama rakannya yang lain sementara menunggu giliran menaiki bas untuk dibawa ke pusat kuarantin.

Mohd Said berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/553131

Artikel ini disiarkan pada 30/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)