Polis Indonesia mengutip hampir lima bilion rupiah

Polis Indonesia mengutip hampir lima bilion rupiah (RM1.4 juta) dalam bentuk denda daripada individu yang melanggar protokol kesihatan COVID-19 antara 14 September dan 5 November lalu.

Polis bekerjasama dengan Tentera Indonesia (TNI) dan pihak berkepentingan tempatan ‘membersihkan’ pesalah protokol kesihatan melalui Operasi Yustisi, yang bertujuan memantau dan mendisiplinkan orang awam mengenai protokol kesihatan.

Operasi itu dijalankan di beberapa wilayah.

“Sehingga 5 November, pasukan gabungan kami sudah mengenakan denda lebih 82,457 kali, dengan nilai keseluruhan 4.8 bilion rupiah (RM1.39 juta),” kata jurucakap polis Brig Jen Awi Setiyono, semalam, seperti yang dipetik tempo.co.

DISYORKAN TNTUK ANDA
Hukuman basuh tandas jika langgar penjarakan sosial
COVID-19: Ketua Pengarah WHO jalani kuarantin kendiri
COVID-19: Polis hanya menguatkuasakan undang-undang
Polis Indonesia tahan lebih 140 lelaki, operasi kelab gay

Beliau kemudian berkata, polis sudah menyerahkan wang berkenaan kepada tabung negara.

Awi berkata, sebagai tambahan kepada denda, polis juga mengeluarkan hampir 10 juta saman bertulis dan amaran lisan.

Polis turut menutup sementara hampir 2,000 perniagaan yang didapati melanggar protokol kesihatan.

Awi berkata, denda dan sekatan adalah selari dengan Ketetapan Presiden No 6/2020 mengenai penguatkuasaan protokol COVID-19.

Beliau memberi amaran bahawa pesalah yang mengulangi kesalahan akan dihukum penjara.

“Jika (seorang individu) terus melanggar (protokol) walaupun sudah diberi amaran berkali-kali, maka sama ada suka atau tidak, kami perlu menguatkuasakan undang-undang,” kata Awi.

Sebelum ini, pentadbiran Jakarta dilaporkan mengutip kira-kira empat bilion rupiah (RM1.15 juta) dalam bentuk denda daripada penduduk yang melanggar protokol COVID-19, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Gubernur No 51/2020 yang mula dikuatkuasakan pada 4 Jun lalu

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2020/11/752046/ingkar-protokol-kesihatan-polis-indonesia-kutip-denda-lebih-rm14-juta

Artikel ini disiarkan pada 09/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)