Sambut tahun norma baharu cina, warga emas menyambut di kedai mamak

Sambut tahun norma baharu cina, warga emas menyambut di kedai mamak

Walaupun tahun ini sambutan Tahun Baharu Cina hanya diraikan dengan rakan pelbagai bangsa di kedai mamak, pasangan warga emas ini tetap merasai kemeriahannya.

Pasangan warga emas, Liew Yong, 78, dan Yu Chin Chu, 74, hanya menyambut tahun baharu berdua sahaja berikutan lima orang anaknya berada di perantauan.

Yong berkata tiga orang anaknya tinggal di Johor dan seorang di Singapura serta seorang lagi di Kuala Lumpur tidak pulang merayakan tahun baharu kali ini berikutan larangan rentas negeri bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Katanya, biasanya pagi tahun baharu akan meriah dengan telatah dan ragam sembilan orang cucunya bersama menantu tetapi kali ini hanya mereka berdua berada di rumah. “Tahun ini kami berdua menyambut tahun baharu di kedai mamak sahaja dengan rakan pelbagai bangsa bagi mengubat kerinduan kepada anak dan cucu yang tidak dapat pulang.

“Bagaimanapun sambutan tetap meriah apabila ada sahaja rakan pelbagai bangsa yang menyapa dan mengucapkan selamat tahun baharu membuat kami berdua gembira,” katanya ketika ditemui.

Katanya, anak dan cucu mereka ada menghubungi beliau dan isteri untuk bertanya khabar bagi mengubat kerinduan mereka sekeluarga.

Isterinya, Chin Chu pula berkata biasanya setiap tahun beliau akan menyiapkan ‘ang pau’ untuk diberikan kepada cucu dan jiran di kawasan perumahan itu tetapi tahun ini tiada satu ‘ang pau’ pun disediakan.

“Memang terasa sunyi apabila anak dan cucu tidak bersama menyambut tahun baharu menyebabkan saya dan suami ke kedai mamak untuk bersarapan pagi.

“Biasanya awal pagi lagi saya akan masak makanan kegemaran anak dan cucu tetapi sambutan tahun baharu kali ini hanya makan di kedai sahaja,” katanya.

Beliau berkata ramai rakan pelbagai bangsa yang menegur dan menyapa mereka apabila melihat kelibat mereka makan di kedai mamak.

Katanya, rakyat kena bersatu memerangi wabak COVID-19 supaya sambutan tahun depan tidak perlu lagi seperti kali ini.

Sumber: BH

Artikel ini disiarkan pada 12/02/2021

COMMENTS

Wordpress (0)