‘Saya minta maaf, semua sudah tiada’

Seorang bapa hanya mampu menangis dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga lain sebaik jasad tiga anak lelakinya dibawa keluar dari pekarangan Jabatan Forensik Hospital
Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, juga sempat menitipkan permohonan maaf kepada seluruh ahli keluarga dan mengakui kesemua tiga anaknya sudah tiada.

“Saya minta maaf, semua sudah tiada,” kata Muhammad Alhafiz sebak.

Tiga anak Muhammad Alhafiz iaitu Muhammad Adam Hakimi, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut dalam kemalangan selepas kereta Perodua Axia dipandu isterinya, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabas di Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini kelmarin.

Nur Aimi bagaimanapun terselamat dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HRPB.

Menurut Muhammad Alhafiz, ketiga-tiga jenazah anaknya dibawa pulang ke Melaka dan disemadikan di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam.

“Kali terakhir saya jumpa tiga anak dan isteri ialah ketika mereka pulang bercuti di Melaka.

“Nur Aimi serta tiga anak lelaki saya tinggal di Pulau Pinang atas faktor kerja dan mereka telah mengambil cuti untuk berjumpa dengan saya baru-baru ini,” katanya.

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Axia selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan tiga beradik maut kelmarin.

MUHAMMAD alhafiz (tengah) menyembahyangkan jenazah tiga anak anaknya di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di Ipoh semalam.
Muhammad Alhafiz turut memaklumkan, isterinya masih belum dimaklumkan mengenai berita yang menimpa tiga anaknya buat masa ini.

“Bukan mahu merahsiakan keadaan anak kami tapi ia bukan masa yang sesuai lagi buat masa sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan yang tular yang mengaitkan kepulangan keluarganya ke Melaka adalah untuk menyelesaikan kes mahkamah.

“Saya menafikan perkara itu. Mereka pulang untuk bercuti dan berjumpa dengan saya,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, abang Nur Aimi, Muhd. Jazli Aiman, 31, berkata, adiknya kini berada dalam keadaan stabil, namun masih ditempatkan di unit rawatan rapi.

“Saya belum berkesempatan melihat Aimi, namun berdasarkan maklumat oleh doktor, kea daannya stabil dan telah dipindahkan ke ICU pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Muhd. Jazli, ketika kejadian, Nur Aimi bersama tiga anak lelakinya yang berusia satu hingga tujuh tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pulau Pinang selepas habis
bercuti di kampung halaman di Melaka.

Kosmo! semalam melaporkan, tiga beradik lelaki iaitu Muhammad Adam, Muhammad Lutfi dan Muhammad Affan Hafiy maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Axia dipandu Nur Aimi terbabas dan melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan.

Menurutnya, pihaknya akan memindahkan Nur Aimi ke hospital di Melaka sekiranya diberi keizinan daripada doktor yang merawatnya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka kira-kira pukul 11 malam tadi.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/12/18/saya-minta-maaf-semua-sudah-tiada/

Artikel ini disiarkan pada 18/12/2020

COMMENTS

Wordpress (0)