Speaker DUN Selangor sekali lagi tegur Adun BN dan Pas

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim sekali lagi menegur beberapa Adun Barisan Nasional (BN) kerana berbaju Melayu pada hari ke-2 sidang, hari ini.

Semalam, Ng berang dengan 3 Adun pembangkang kerana tidak mematuhi kod pakaian sidang DUN dengan memakai baju Melayu, bukannya sut.

“Yang saya tegur iaitu ketua pembangkang (Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail) dan yang lain telah berjanji dengan memberitahu kepada rakyat hari ini mereka akan patuh, dalam WhatsApp pun mereka ada beritahu akan patuh. Tetapi, malang tidak berbau, mereka tetap tidak mengikut peraturan.

“Saya nak tegaskan, kenapa sukar sangat untuk patuh peraturan?” Ng berkata demikian sebelum perbahasan mengenai belanjawan negeri.

Beliau berkata, hanya Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) mematuhi kod pakaian dan menggesa Adun BN mencontohi sekutu mereka, PAS.

Semalam, Yunus antara yang berbaju Melayu.

Ng menuduh Adun BN menggunakan isu baju Melayu untuk “mempermainkan” sentimen terhadapnya sebagai pemimpin DAP.

Katanya, Adun sebaliknya perlu bercakap mengenai isu substantif seperti gangguan bekalan air dan Covid-19.

“Gunakan isu air, isu Covid dan sebagainya dan saya akan beri peluang secukupnya,” katanya.

Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menafikan sebarang konspirasi terhadap Ng dan mengatakan beliau tidak mahu isu itu dipanjangkan.

Ng mencelah dan mendakwa Adun pembangkang cuba memaksanya untuk menghalau mereka dari dewan.

Kedengaran beberapa Adun berkata kepada Ng supaya menghalau keluar ahli pembangkang.

“Hari ini kesabaran saya tinggi,” kata Ng, yang enggan menghalau mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (PH- Batu Tiga) berkata, Ng membuat keputusan bawah Peraturan Mesyuarat 87(7) semalam berhubung kod pakaian lelaki.

“Saya rasa kita masih bagi ruang. Keputusan adalah muktamad kecuali jika ada usul bersendiri yang menentang usul speaker.

“Jadi kalau betul mahu usulkan, usul dengan cara yang betul. Kemudian, kita boleh bincang dalam Dewan Negeri ini,” katanya.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/03/kenapa-sukar-sangat-patuh-peraturan-ydp-dun-selangor-sekali-lagi-tegur-adun-bn/

Artikel ini disiarkan pada 03/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)