Speaker pertimbang siaran sidang media di parlimen

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun akan mempertimbangkan untuk menyiarkan siaran langsung sidang media yang diadakan di ruang media parlimen, kata MP Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Menurut ahli parlimen PKR itu, perkara berkenaan dibangkitkan ketika beliau bertemu Azhar hari ini untuk memintanya supaya membenarkan lebih banyak wartawan membuat liputan sidan parlimen.

“Saya telah mencadangkan agar pihak parlimen membantu menyiar secara langsung sidang-sidang media ahli-ahli parlimen yang sering berlangsung di Bilik Media Parlimen, sama ada melalui FB Live atau sebarang aplikasi lain, agar media yang tidak dapat hadir masih boleh membuat liputan isu-isu yang dibangkitkan ahli-ahli parlimen.

“Datuk Speaker berkata beliau akan pertimbang dan perkara tersebut sebenarnya tidak terlalu sukar untuk dilaksana,” kata Fahmi pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Berhubung permintaan supaya lebih ramai wartawan dibenarkan menghadiri sidang parlimen, Fahmi berkata Azhar kekal dengan pendiriannya bahawa langkah berjaga-jaga Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Nasional bermaksud bilik media hanya dapat memuatkan sekitar 70 orang saja.

Walaupun begitu, Fahmi berkata beliau berterima kasih kepada Azhar kerana bersedia mendengar maklum balas.

Sebelum ini, pentadbir parlimen telah membatasi liputan media untuk sidang parlimen sekarang kepada hanya 15 organisasi media dan masing-masing hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan, dan seorang jurugambar atau jururakam video.

Kakitangan media ini juga mesti menjalani ujian swab RT-PCR pada 30 Oktober dan mengemukakan keputusan ujian pada 2 November.

Organisasi media yang bukan antara 15 organisasi yang diluluskan dinasihatkan untuk membuat perjanjian dengan RTM dan Bernama milik kerajaan. Malaysiakini termasuk antara media yang tidak diluluskan untuk menghadiri sidang parlimen.

Pada masa ini, perbahasan parlimen disiarkan secara langsung oleh penyiaran negara, tetapi mereka yang tidak hadir sesi tersebut hanya dapat mengakses sidang media ahli parlimen hanya jika disiarkan secara langsung di tempat lain atau jika terdapat rakaman.

Mereka yang tidak hadir sidang ini juga perlu mencari cara lain untuk mengemukakan soalan kepada ahli parlimen.

Beberapa ahli parlimen membantah sekatan itu, berkata ia menghalang akses orang ramai terhadap maklumat ketika parlimen bersiap sedia untuk mengusulkan cadangan Belanjawan 2021 yang sangat dinanti-nantikan, dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada hari Jumaat.

Brita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/549471

Artikel ini disiarkan pada 05/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)