‘sudah terantuk baru nak tengadah’

Walaupun seperti ‘sudah terantuk baru nak tengadah’, tetapi memang wajar kalau kesan buruk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu dijadikan iktibar.

Jadi, benarlah dan bukan tohmah bahawa PRN Sabah merupakan punca utama lonjakan semula kes Covid-19 di negara kita sekarang. Cuma, biarpun jumlah kluster makin bertambah, tetapi tiada siapa yang mahu/berani menyebut Kluster Menteri, atau Kluster PRN Sabah.

Diharap pembatalan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah benar-benar kerana mahu mengelakkan penularan virus Corona demi kesejahteraan rakyat, dan bukan disebabkan ia tidak penting bagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) – ada atau tidak PRK itu tidak mengubah apa-apa – hanya memenuhi tuntutan Perlembagaan sahaja, kerana/lagipun Kerajaan PN telah berjaya merampas Negeri Sabah.

Pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi yang sekali gus membatalkan PRK yang sepatutnya pada 5 Disember depan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas beliau pada 18 November lalu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk pengisytiharan darurat itu selepas baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada sesi yang berlangsung sejam mulai jam 4 petang.

Muhyiddin telah mempersembah nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

Setelah memperhalus penjelasan Perdana Menteri, dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Dato’ Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi P.85 Batu Sapi, Sabah.

Dengan Pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang, dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19, dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Jika PRK Parlimen Batu Sapi diteruskan, penamaan calonnya dijadualkan pada 23 November depan.

Dalam satu kenyataan pada 18 November itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala Covid-19.

Muhyiddin menjelaskan walaupun darurat, tetapi penduduk di sekitar Batu Sapi tidak akan mengalami kesukaran. Mereka, katanya boleh terus menjalankan urusan harian seperti biasa kerana tiada perintah berkurung.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat tersebut, sekali gus dapat menghalang PRK yang dijadualkan berlangsung dua minggu lagi.

Menurut Hisham, KKM dari awal lagi bimbang jika ada PRK atau pilihan raya umum (PRU). Katanya, KKM memang memberikan nasihat bahawa pilihan raya harus dihindari sebanyak mungkin.

Berdasarkan Perlembagaan, P.85 Batu Sapi harus diadakan dalam masa 60 hari untuk melantik ahli Parlimen baharu selepas kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Hisham turut menegaskan PRN Sabah adalah contoh terbaik bagaimana kes Covid-19 boleh menular ketika pilihan raya diadakan. Kalau boleh, katanya lagi, amat penting menghalang satu lagi pilihan raya untuk mencegah Covid-19 dalam negara kita.

Ketika kita semua masih merasai kesan PRN Sabah, dan menyambut baik pelaksanaan darurat di Batu Sapi, akan ada dua PRK lagi jika tidak dihalang. Satu, PRK Parlimen di Perak. Satu lagi, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Dua hari berturut-turut wakil rakyat meninggal dunia. Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raub pada 16 November, sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah kembali ke rahmatullah di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu sehari kemudian.

Meninggal pada usia 63 tahun, Allahyarham Hasbulah baru dipilih sebagai antara wakil Kerajaan PN dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Mantan Setiausaha Politik Muhyiddin itu juga telah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Pada PRU14, 9 Mei 2018, Hasbullah menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Ibrahim Mohd Hanafiah, dan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dengan majoriti 5,528 undi.

Meninggal dunia pada usia 65 tahun, Allahyarham Manis Muka yang juga Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan), Semporna, dimasukkan ke unit rawatan rapi, Hospital Gleneagles pada malam 16 November kerana masalah buah pinggang. Difahamkan, Manis menghidap penyakit buah pinggang.

Manis yang tinggal di Kampung Bugaya merupakan ibu kepada lima anak lelaki dan lima anak perempuan. Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna itu bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985.

Pada PRN Sabah, 26 September lalu, Manis mempertahan kerusi Bugaya dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam calon lain, iaitu calon PN, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah, dan dua calon Bebas.

Sama ada kes Covid-19 menurun, apatah lagi menaik, mengadakan PRK memang akan merisaukan semua pihak. Jumlah kes di Sabah makin terkawal, tetapi mengadakan PRK DUN Bugaya itu tidak mustahil akan memburukkan kembali.
Selepas disanjung sebelum ini dan lama berstatus hijau, kes Covid-19 di Perak kian merisaukan. Justeru, PRK Parlimen Gerik turut membimbangkan, dan wajar ditangguh/batalkan.

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.

Sumber:https://malaysiadateline.com/prk-batu-sapi-tak-penting-pun-bagi-pn/

Artikel ini disiarkan pada 22/11/2020

COMMENTS

Wordpress (0)