[video]‘Mohon semua tolong doakan Adik’

“Adik minta dikebumikan cepat, dia minta dengan abangnya dalam mimpi malam tadi.”

Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera Jumaat lalu, reda dengan keputusan mengebumikan jenazah di kampung ibu kandungnya di Melaka.

Walaupun ada meminta jenazah dikebumikan di Rawang, Selangor, beliau yang dipanggil Ummi merelakan ‘Adik’ dikebumikan di sini.

“Alhamdulillah, adik dah selamat dikebumikan. Terima kasih kepada keluarga kandungnya yang bekerjasama dengan Ummi sehingga selesai pengebumian,” katanya dalam nada sebak.

Beliau ditemui selepas menghadiri pengebumian kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, di sini, hari ini.

Ummi berkata, tatapan terakhir wajah Allahyarham menampakkan wajahnya yang berseri dan tenang.

“Dulu dia selalu tidur dengan saya, peluk saya sebelum tidur. Sebelum tidur dia akan tengok wajah saya dan saya juga tengok wajahnya.

“Bila dapat lihat Adik buat kali terakhir, saya nampak dia sama macam yang saya lihat hari-hari sebelum ini.

“Insya-Allah, kami akan ziarah pusaranya selepas ini, mohon semua doakan sama,” katanya.

Kanak-kanak terbabit ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, di sini dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu.

Siasatan polis mendapati, pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu.

Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Hasil bedah siasat semalam mendapati, banyak kesan lebam dan beberapa kecederaan lama serta baharu di badan kanak-kanak terbabit.

Selain itu, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala dipercayai baru berlaku terhadap mangsa.

Sementara itu, ahli keluarga kandung mangsa enggan bertemu media dan turut menghalang petugas media merakam gambar pengebumian.

Sumber:https://malaysiaharmoni.net/video-masa-ni-ayah-tiri-amir-bawak-jumpa-kami-diam-diam/

Artikel ini disiarkan pada 01/02/2021

COMMENTS

Wordpress (0)